
KOTA KINABALU: Inkues bagi menentukan punca kematian Pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir bermula hari ini di Mahkamah Koroner di sini.
Inkues selama 19 hari yang dijadualkan berlangsung pada 3-4 September, 8-12 September, 17-19 September serta 22 hingga 30 September akan dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku Koroner.
Seramai 70 saksi termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas remaja terbabit akan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding inkues berlangsung.
Prosiding akan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pendakwa iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu. Remaja berkenaan sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri tepi longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Kronologi kes Zara Qairina
16 Julai 2025
Jam 3 pagi
-Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi longkang berhampiran bangunan asrama perempuan (tingkat tiga).
-Kejadian berlaku ketika kebanyakan pelajar lain masih berjaga.
-Tiada jeritan, tiada saksi, dan tiada kamera CCTV disahkan di lokasi
Jam 8.16 pagi
-Polis menerima laporan berkaitan penemuan pelajar tersebut.
-Laporan menyatakan mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
-Kecederaan dalaman dilaporkan sangat serius.
-Waris dimaklumkan Zara koma, dengan kaki dan tangan patah.
17 Julai 2025
-Waris membuat keputusan menghentikan bantuan hayat selepas doktor sahkan tiada lagi fungsi otak.
-Laporan polis rasmi dibuat oleh waris kedua yang tiba dari Kuala Lumpur.
-Jenazah Zara disolatkan dan dikebumikan di kampung halaman di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.
18 Julai 2025
-Pemergian Zara mulai tular di media sosial yang turut mendakwa ada kaitan buli.
-Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di FB menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap insiden buli yang didakwa berlaku
-Menteri KPM, Fadhlina Sidek dalam hantaran di FB memaklumkan siasatan masih dijalankan oleh pihak polis
-Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun mengesahkan kejadian.
20 Julai 2025
– Waris hadir ke IPD Papar untuk membuat laporan tambahan mengenai tindakan pengetua menghalang laporan awal.
-Waris juga menghantar surat rasmi kepada pihak sekolah menuntut penjelasan kejadian
21 Julai 2025
– Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap EXCO pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif telah menziarah ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45, di kediamannya di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.
– Noraidah dalam pada itu mahu tiada sebarang perkara disembunyikan dalam siasatan berhubung insiden yang menimpa Zara Qairina.
24 Julai 2025
– Gelombang solidariti terhadap Zara Qairina menggunakan tanda pagar #JusticeForZara.
-Solidariti itu susulan pendedahan daripada individu yang mendakwa sebagai ahli keluarga Allahyarham Zara Qairina dan hantaran melalui FB telah dikongsikan oleh pengguna media sosial.
25 Julai 2025
– KPM beri jaminan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan polis berhubung kematian Zara Qairina.
26 Julai 2025
– KPM sekali lagi beri jaminan bahawa siasatan berhubung kematian Zara Qairina dijalankan secara telus dan adil.
29 Julai 2025
– Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Datin Rosnih Nasir menafikan sebarang pembabitannya dalam insiden kematian seorang pelajar perempuan yang terjatuh dari bangunan asrama sekolah itu, baru-baru ini.
30 Julai 2025
– Noraidah buat satu laporan polis tambahan di Balai Polis Sipitang memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian Zara secara teliti.
31 Julai 2025
– Sidang media Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun menyatakan 60 orang telah dipanggil untuk memberi keterangan.
– Polis Sabah tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kes Zara Qairina
1 Ogos 2025
– Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri mewakili Noraidah Lamat dedahkan tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara Qairina selepas disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
2 Ogos 2025
– Kenyataan media pasukan peguam bahawa Noraidah ibu kepada Zara Qairina tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kaitkan VVIP.
3 Ogos 2025
– Kenyataan media pasukan peguam bahawa Noraidah buat satu lagi laporan polis di Balai Polis Sipitang berhubung wujud kesan lebam pada belakang badan Zara Qairina semasa mandikan jenazah pada 17 Julai lalu.
– Kenyataan media pasukan peguam memaklumkan bahawa pakaian dan barang peribadi Zara Qairina belum diambil pihak polis.
– Peguam sahkan rakaman suara perbualan Zara Qairina bersama ibunya tular.
4 Ogos 2025
– Satu lagi rakaman suara tular juga perbualan Zara Qairina dan ibunya disahkan peguam sebagai sah.
– Kenyataan media Jabatan Peguam Negara sudah terima laporan penuh siasatan awal daripada PDRM.
5 Ogos 2025
– Pasukan peguam dakwa laporan penuh siasatan PDRM terdapat kelemahan dan pincang.
– Pasukan peguam mohon supaya dikembalikan kertas siasatan untuk siasatan dibuka semula, meminta pegawai penyiasat dari Bukit Aman yang berpengalaman, kubur Zara Qairina digali semula untuk dibedah siasat bagi menentukan punca kematian.
– Peguam sahkan satu lagi rakaman perbualan tular antara Zara Qairina dan ibu tular di media sosia.
– Peguam mohon tiga perkara dalam surat yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
6 Ogos 2025
– Kenyataan media pasukan peguam nafi dakwaan Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh dan ia hanya satu spekulasi.
– Penyebaran senarai nama dan gambar pelajar sekolah satu kesalahan jenayah.
– Kenyataan media ACG berhubung penularan kandungan berkaitan kanak-kanak melibatkan kes Zara Qairina di media sosial.
7 Ogos 2025
– Kenyataan media pasukan peguam berhubung kenyataan Jabatan Peguam Negara telah kembalikan semula laporan penuh siasatan kepada polis.
– Noraidah serahkan telefon bimbit dan kad SIM di Balai Polis Karamunsing.
8 Ogos 2025
– ACG arah gali kubur Zara Qairina.
– Himpunan solidariti Zara Qairina diadakan di Sandakan, Lahad Datu dan Tawau
9 Ogos 2025
– Permohonan gali kubur dilakukan di IPD Papar dengan perintah Majistret.
– Permohonan dibenarkan jam 3 petang.
– Proses gali kubur bermula jam 5.30 petang.
– Selesai gali kubur dan jenazah dibawa terus ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu pada jam 7.30 malam.
– Sebaik tiba, jasad dilakukan CT Scan
– Himpunan solidariti Zara Qairina diadakan di Papar.
– Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap EXCO Pendidikan dan Agama Datuk Mohd Arifin Mohd Arif nafi anaknya terbabit dalam kes Zara Qairina.
10 Ogos 2025
– Proses bedah siasat bermula jam 11 pagi
– Selesai bedah siasat jam 7.30 malam dan jenazah dibawa terus ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang, untuk dikebumikan semula.
– MCMC keluarkan kenyataan media sedang jalankan siasatan penyebaran kandungan di media sosial berhubung kematian Zara Qairina.
– Himpunan solidariti Zara Qairina diadakan di Labuan, Putatan, Sipitang.
– Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah titah semua masjid dan surau di Pahang laksanakan solat hajat khas untuk Allahyarhamah Zara Qairina.
– Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap EXCO Pendidikan dan Agama Datuk Mohd Arifin Mohd Arif arah semua masjid dan surau seluruh Sabah adakan smajlis tahlil dan doa untuk Allahyarhamah Zara Qairina.
11 Ogos 2025
– Jenazah Zara Qairina selesai dikebumikan semula pada jam 1.15 pagi.
– Peguam sahkan wujud kecederaan pada jasad Zara Qairina seperti mana yang tular di media sosial.
– Peguam turut menjelaskan mungkin mohon inkues bagi kes kematian Zara Qairina.
– Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru siasatan Allahyarham Zara Qairina dilaksanakan dengan penuh ketelusan serta ketelitian meliputi setiap aspek, tanpa rasa takut atau pilih kasih
– Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah dihantar ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes membabitkan Zara Qairina.
– Pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, menegaskan mereka akan menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan laporan bedah siasat bagi mengelakkan percanggahan maklumat sebelum laporan rasmi dikeluarkan pihak hospital.
SumbeR: Berita Harian
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah