
Lahad Datu :Polis menahan lima individu termasuk dua wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran melalui aplikasi MiChat dalam satu serbuan Ops Noda di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Haji Ismail, berkata operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada jam 9.30 malam.
“Serbuan itu membawa kepada penahanan tiga lelaki dan dua wanita, masing-masing berusia 18 tahun, yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pelacuran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kegiatan tidak bermoral itu dipercayai bermula sejak Mei lalu dan menggunakan aplikasi MiChat sebagai platform untuk mencari pelanggan. Bayaran yang dikenakan bagi setiap langganan perkhidmatan dianggarkan antara RM150 hingga RM300.
Tambahnya, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan, termasuk telefon pintar, kondom, resit hotel dan kunci bilik.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 372A dan 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kegagalan memiliki dokumen perjalanan sah, yang boleh membawa kepada hukuman denda, penjara atau pengusiran.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah