
TAWAU : Seramai 40 individu, termasuk pendatang tanpa izin (PTI) dan pengedar dadah, telah ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di daerah Tawau dan Kalabakan, baru-baru ini.
Operasi itu menyasarkan kawasan panas termasuklah, Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama, Road Check Point (RCP) Kalabakan serta penempatan di pinggir bandar dan kampung.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, ia turut menumpukan pemeriksaan di laluan ketirisan berhampiran sempadan daratan dan perairan.
Katanya, sebanyak 146 pemeriksaan fizikal membabitkan orang awam, 26 rumah dan premis perniagaan serta tiga kenderaan telah dijalankan sepanjang operasi dari 24 hingga 26 Julai lalu.
“Hasil operasi, 21 PTI warganegara Filipina dan Indonesia ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Selain itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau bersama Balai Polis Kalabakan turut menangkap 19 individu berkaitan kes dadah termasuk dua yang disyaki pengedar,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi turut merampas dadah jenis syabu seberat 125.64 gram, cecair ketum dalam 41 botol berkapasiti 1.5 liter dan wang tunai sebanyak RM950.
“Saringan air kencing juga dilakukan terhadap semua tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sabah Electricity (SE) turut memotong sambungan elektrik haram yang menyebabkan kerugian mencecah RM750,000.
Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 35 saman dan dua notis periksa kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Victor berkata, operasi ini adalah antara usaha berterusan menerusi Operasi SANGGAH ESSCOM yang menggabungkan aset dan kekuatan pelbagai agensi di negeri ini.
“Ia juga bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta memastikan ancaman rentas sempadan dapat dikekang.
“ESSCOM bersama pelbagai agensi akan terus memperhebat operasi seumpama ini di semua daerah Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) demi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.