
LAHAD DATU: Dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi pelaksanaan Ops Tapis, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata operasi itu digerakkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Katanya, serbuan pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Filipina berusia 38 tahun selepas polis menemukan 0.22 gram syabu dalam simpanannya.
“Turut dirampas bersama suspek, dua bilah pisau dan gunting yang disorokkan dalam beg miliknya.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, lelaki berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika ditahan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan kedua pula, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan.
“Pihak polis menemukan 0.19 gram syabu ketika tangkapan dan hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif methamphetamine.
“Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut. Polis tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras jenayah dadah di daerah ini,” katanya.
Sehubungan itu, Jimmy menyeru orang ramai agar terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terpelihara.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah