Lelaki Tempatan Ditahan Miliki 34.82 Gram Syabu di Tawau

Suspek miliki syabu ditahan dalam serbuan di Kampung Tanjung Batu, Tawau.

TAWAU : Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan memiliki syabu seberat 34.82 gram dalam satu serbuan di Kampung Tanjung Batu, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan tersebut.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menjalankan operasi ke atas sebuah rumah di kampung berkenaan, sebelum menahan suspek.

“Hasil pemeriksaan menemukan lima paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 34.82 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Kesemua barang rampasan, termasuk dadah yang dijumpai, telah dibawa ke IPD Tawau untuk dijadikan barang kes bagi siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada enam tahun atau penjara seumur hidup, serta tidak kurang daripada 10 sebatan.

ACP Jasmin turut menegaskan komitmen pihak polis dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Saya menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dadah di kawasan masing-masing,” tambahnya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *