Pertuduhan 2 Adun Tidak Jejas Pentadbiran Negeri – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melawat mangsa kebakaran kampung Petagas dan Bukit Vor yang ditempatkan di PPS Dewan Sri Putatan.

PUTATAN: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilapor akan mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung siasatan Op ADUN hujung bulan ini tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dilaporkan mengesahkan dua ADUN Sabah dan seorang awam terbabit dalam siasatan Op ADUN itu.

Susulan itu, beliau berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara terbabit.

“Saya ambil maklum perkara itu. Kita mesti menghormati proses undang-undang dan kita biarkan jabatan yang berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan negeri komited memastikan kita menghormati bukan sahaja undang-undang, tetapi mewujudkan integriti dalam kalangan anggota kerajaan dan juga penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Petagas dan Bukit Vor di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Sabah (GRS) turut menegaskan perkembangan itu tidak akan memberi kesan kepada kerajaan diterajuinya.

“Saya ingat tidak memberi kesan. Saya dapat makluman mereka (SPRM) akan membuat pendakwaan kepada dua orang (ADUN) .. saya tidak tahu siapa. Jadi apa pun, kita menegakkan proses undang-undang itu mesti berjalan sebaik mungkin.

“Biar mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak. Ada ruang untuk mereka membersihkan nama mereka. Itu saya yang fikir itu,” katanya.

Ditanya mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang didakwa akan diumumkan pada bulan depan, Hajiji bagaimanapun berkata pihaknya akan mengumumkannya apabila ia sudah dimuktamadkan.

“Sebagai Ketua Menteri, saya akan menentukan nanti (tarikh pembubaran DUN Sabah), tetapi yang jelas tidak berapa lama lagi kita akan mengadakan pilihan raya. Sama ada kita suka awal atau lambat, ia mesti diadakan.

“Jadi tunggu (pengumuman). Kita serah balik kepada rakyat untuk memutuskan siapa kerajaan yang mereka mahu.

“Perbincangan awal (bersama Pakatan Harapan Sabah) sudah ada. Jadi kita akan muktamadkan dalam masa terdekat sebelum bubar (DUN Sabah),” katanya.

SumbeR: Berita Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *