
PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya merampas serbuk dan cecair ketum dan menahan dua lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah bengkel kereta di Putatan di sini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek yang berumur 40 dan 22 tahun itu ditahan selepas polis menemukan bahan disyaki ketum di lokasi kejadian.
“Dalam serbuan itu, pasukan polis menjumpai satu paket lut sinar berisi serbuk kehijauan disyaki ketum seberat 3,282.57 gram.
“Turut ditemukan 20 botol plastik yang mengandungi kira-kira 30,000 mililiter cecair dipercayai air ketum,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah, manakala semakan jenayah lampau juga menunjukkan suspek tidak mempunyai rekod jenayah.
“Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
Katanya, pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah agar segera melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah terbabit di daerah ini.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah