Langgar Motosikal Polis, Empat Individu Ditahan Selepas Lari Dari Pemeriksaan

Suspek ditahan selepas melanggar motosikal milik anggota polis semasa pemeriksaan.

TAWAU : Empat individu, termasuk seorang wanita, ditahan pihak polis selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan semasa rondaan bit dijalankan di kawasan Persisiran Traulsen di sini, hari ini.

Menurut kenyataan pihak polis, kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna putih bertindak mencurigakan, lalu dihentikan untuk pemeriksaan.

Namun, pemandu kenderaan tersebut bertindak agresif dengan melanggar sebuah motosikal milik anggota polis yang sedang bertugas sebelum merempuh tembok sebuah bangunan kerajaan dan pembahagi jalan.

Kenderaan terbabit akhirnya berjaya dihentikan, dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat orang dalam kereta tersebut, terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 15 hingga 23 tahun.

Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka merupakan warga asing yang dipercayai tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Kesemua suspek kini ditahan di Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan menetap di Malaysia tanpa dokumen sah.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *