
PUTRAJAYA : Di sebalik kritikan pembangkang yang mendakwa Sabah bergelut dengan isu infrastruktur seperti bekalan air, elektrik, banjir, dan pembangunan tidak seimbang, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tampil dengan fakta serta pelan tindakan konkrit.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyelesaikan masalah asas rakyat di negeri itu, terutama isu bekalan air dan prasarana luar bandar yang menjadi tumpuan utama tahun ini.
Menurut beliau, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang giat melaksanakan 82 projek bekalan air yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) merangkumi 79 projek sambungan dan tiga projek baharu di bawah Rolling Plan 5 tahun 2025.
“Projek-projek ini bertujuan untuk memastikan bekalan air terawat yang berkualiti dan mencukupi kepada penduduk Sabah, selain meningkatkan liputan bekalan air luar bandar sehingga 75 peratus menjelang 2030,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain usaha memperkasa bekalan air, Kementerian Kerja Raya Sabah turut memfokuskan pelaksanaan Projek Jalan Raya Luar Bandar (JALB) yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dan projek naik taraf jalan tanah serta pembinaan jalan baharu di kawasan luar bandar dibiayai kerajaan negeri.
Menurut Shahelmey, antara projek utama bekalan air yang sedang dilaksanakan ialah Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP), pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu dan menaik taraf loji sedia ada di seluruh negeri seperti Telibong, Kogopon, Lahad Datu, Tawau serta Putatan.

“Antara projek penting ialah pembinaan Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 di Tawau dan Skim Bekalan Air Tawau Fasa III yang turut melibatkan pembinaan empangan dengan kapasiti 30 juta meter padu,” ujarnya.
Bagi prasarana luar bandar, antara projek tumpuan termasuk membina dan menaik taraf jalan di kawasan seperti Nabawan, Penampang, Tongod, Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan, serta Kota Belud.
“Projek-projek ini membuktikan kerajaan negeri bukan sekadar menjawab kritikan dengan janji, sebaliknya melaksanakan tindakan nyata bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar,” katanya.
Mengulas lanjut isu bekalan air bersih yang sering dikeluhkan rakyat, terutama di kawasan pedalaman, Shahelmey menjelaskan bahawa penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang telah digariskan untuk menangani masalah itu secara berperingkat sehingga tahun 2050.
Bagi langkah segera, katanya, penghantaran air melalui lori tangki, penstabilan tekanan air, dan kerja-kerja kecemasan giat dijalankan di kawasan terjejas.
“Untuk jangka masa pendek, kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan rutin paip, sistem mekanikal dan elektrikal, serta bangunan dan fasiliti turut dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Dalam jangka panjang, kementerian meneruskan pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi seperti pembinaan loji rawatan air baharu, empangan dan sistem agihan air di seluruh Sabah.
“Kami juga mengutamakan kerja-kerja penggantian paip pecah dan sistem agihan air usang, walaupun ia bukan sesuatu yang disebarkan secara meluas kepada umum. Ini adalah kerja asas yang perlu dilaksanakan secara konsisten,” katanya.
Menyentuh pembangunan jalan luar bandar, Shahelmey berkata, kementerian menyasarkan untuk menurap 26 kilometer jalan luar bandar menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri tahun ini, manakala 257 kilometer lagi di bawah program JALB yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.
“Semua jalan Persekutuan di Sabah kini berturap, dan kami memberi fokus kepada jalan-jalan kampung serta jalan tanah yang memerlukan penaiktarafan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat dengan agensi Persekutuan seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah membantu mempercepatkan pelaksanaan projek air luar bandar di Sabah.
“Melalui Rolling Plan tahunan, JANS mengemukakan senarai projek keutamaan kepada KKDW untuk kelulusan, dan pelantikan JANS sebagai agensi pelaksana projek bawah RM50 juta di Sabah membolehkan proses perolehan dipercepatkan,” katanya.
Untuk tahun 2025, sebanyak RM100 juta diperuntukkan di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB), manakala projek JALB menerima peruntukan RM430 juta melibatkan 146 projek di seluruh Sabah.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM45.2 juta bagi enam projek jalan luar bandar dan RM150 juta untuk 30 projek menaik taraf jalan tanah.
Shahelmey menegaskan, segala usaha yang digerakkan oleh GRS ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam menangani cabaran infrastruktur di Sabah secara sistematik dan bukan dengan retorik politik semata-mata.
“Kami bukan hanya bercakap, kami bekerja untuk rakyat Sabah,” tegas beliau.
SumbeR: SINAR
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah