Lelaki Parah Dirempuh Hilux Ketika Joging

Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pacuan empat roda langgar mangsa.

TAWAU: Seorang lelaki parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika berjoging bersama rakan-rakannya di Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada Sabtu lepas.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun dilaporkan sedang berjoging bersama kira-kira 20 rakannya dari McDonald menuju ke Bandar Seri Indah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya berada di hadapan kumpulan sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda dari arah belakang.

“Sebaik tiba di hadapan sebuah premis kek, mangsa yang berada di sebelah kanan jalan telah dirempuh dari belakang oleh kenderaan terbabit sebelum tercampak ke dalam parit konkrit di sebelah kiri jalan.

“Mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala dan kini dirawat di Wad Pembedahan Lelaki, Hospital Besar Tawau. Keadaan mangsa dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, pemandu pacuan empat roda terbabit masih belum dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Joan Lee di talian 019-8537100,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *