Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Kait Mangga Di Papar

Pasukan bomba membantu menurunkan mayat mangsa yang disahkan meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik. Gambar Ihsan Bomba

PAPAR: Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah mangga dalam kejadian di Kampung Bambangan, di sini, petang tadi.

Difahamkan, mangsa Ahajah Abdul Musa, 42, yang berada di atas pokok, menggunakan galah besi untuk menjolok buah di hujung dahan sebelum terkena kabel elektrik berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.01 petang.

Katanya, setibanya di lokasi, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas pokok mangga dipercayai terkena renjatan elektrik.

“Pasukan bomba bertindak menurunkan mangsa dari atas pokok menggunakan tangga dan tali penyelamat selepas bekalan elektrik diputuskan oleh Sabah Electricity.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

SumbeR: HMetro

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *