
KOTA KINABALU : Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, menolak dakwaan wujud unsur penganiayaan dan campur tangan politik dalam isu jalan raya di kawasan Parlimen Kinabatangan.
Jelasnya, laluan yang dinyatakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam kenyataannya baru-baru ini adalah kawasan yang terlibat dalam projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB).
“Laluan yang dinyatakan itu adalah dari Batu 32 Sandakan melalui Kinabatangan sehingga ke Lahad Datu dan Kunak, yang kini merupakan laluan Jalan Persekutuan yang terlibat dalam pembinaan pakej LPB.
“Jadi, apabila pakej kerja tersebut telah dikeluarkan, kontraktor yang berjaya dilantik pada hujung tahun lalu hingga awal tahun ini, maka kerja penyelenggaraan jalan adalah di bawah kontraktor yang dilantik.
“Laluan yang dimaksudkan adalah pakej 26, 25, 24, 23, dan 22 dari Kinabatangan ke Lahad Datu,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan telahpun menerima laporan daripada JKR berhubung kerja penyelenggaraan oleh kontraktor tersebut.
“Jadi, dakwaan terdapat penganiayaan dan unsur politik itu adalah tidak berasas dan tidak tepat sama sekali,” tegasnya.
Sebelum itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, menyatakan kekesalannya apabila jalan raya di kawasannya tidak diberi perhatian untuk dibaik pulih.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag mendakwa banyak jalan di kawasan Kinabatangan rosak dan berlubang serta membahayakan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut. Ia sekali gus menimbulkan persoalan adakah terdapat unsur politik kepartian dalam pengagihan kerja penyelenggaraan di kawasan tersebut.
SumbeR: SINAR
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah