Lelaki Menyamar Pegawai Trafik Ditahan Polis Di Lahad Datu

Suspek

LAHAD DATU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana menyamar sebagai pegawai polis trafik akhirnya ditahan semalam bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan kemalangan jalan raya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menyamar sebagai pegawai trafik bagi menyelesaikan satu kes kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Ladang Giram, Kunak pada 3 Februari lalu.

“Suspek telah menawarkan untuk menyelesaikan kes kemalangan berkenaan dan meminta sejumlah wang pampasan daripada mangsa kononnya bagi kos pembaikan.

“Namun mangsa mula curiga selepas mendapati suspek bukan anggota polis dan kemudian tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek turut disenarai hitam dan mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *