
LAHAD DATU: Seorang wanita tempatan mendakwa menjadi mangsa rogol oleh rakan sekerjanya dalam kejadian di Lok Bangak, Bagahak, di sini, pada Sabtu lepas.
Mangsa berusia 35 tahun itu dikatakan dirogol oleh suspek di kawasan semak dan rumah kebun, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Lahad Datu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata sebelum itu, pihaknya menerima laporan daripada mangsa mengenai kejadian itu.
Katanya, hasil maklumat awal, suspek adalah warga asing berusia 25 tahun dan merupakan rakan sekerja dengan mangsa.
“Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya menahan suspek pada jam 10 malam, semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Lahad Datu hari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah