Pelancong China Maut Di Pulau Sipadan

Mangsa ketika dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

SEMPORNA: Seorang pelancong lelaki warganegara China berusia 37 tahun dilaporkan maut selepas lemas ketika menjalankan aktiviti menyelam di perairan Pulau Sipadan, Semporna petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Sabri Zainol, insiden itu berlaku kira-kira jam 10.45 pagi apabila mangsa yang menyelam tanpa jurulatih dikatakan tenggelam selepas terpisah dari kumpulan juruselam lain.

Mangsa merupakan salah seorang penyelam dan menyertai lapan penyelam lain untuk aktiviti menyelam rekreasi di kawasan tersebut.

Seorang jurulatih penyelam yang menyedari kehilangan mangsa kemudian menjalankan pencarian sebelum menemui mangsa tidak sedarkan diri di dasar laut pada kedalaman 25 meter.

“Mangsa dibawa ke atas bot dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) namun masih tidak sedarkan diri,mangsa hanya sempat memberi respon dengan menarik nafas panjang serta muntah-muntah namun kekal dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan kecemasan dan seterusnya dirujuk ke Hospital Tawau.

Namun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Difahamkan, pelancong berkenaan datang ke Pulau Sipadan bersama isterinya dan ketika kejadian berlaku, isteri mangsa berada di atas bot tersebut.

Susulan kejadian, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah klasifikasi kematian mengejut (SDR).

Bedah siasat dijangka dijalankan pada 20 Mei 2025 di Hospital Tawau bagi menentukan punca sebenar kematian.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, ASP Mohammadi Ali Bin Amat di talian 013-2120852 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

SumbeR: Sabah Dimensi

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *