Dua Lelaki Ditahan Bersama 2.5 Kilogram Syabu Di Lapangan Terbang Tawau

Jasmin (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas dalam kejadian berkenaan.

TAWAU: Cubaan membawa masuk dadah jenis syabu seberat hampir 2.5 kilogram ke Tawau melalui lapangan terbang berjaya dipatahkan pihak polis di Lapangan Terbang Tawau, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan ke atas dua lelaki warga tempatan hasil risikan dan maklumat awam yang diterima sebelum ini.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.25 malam apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang lelaki berusia 44 tahun sejurus tiba dari Kuala Lumpur ke Tawau.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang barangan terlarang ditemukan ketika pemeriksaan ke atas lelaki terbabit.

“Soal siasat ke atas suspek pertama membawa kepada penahanan suspek kedua yang turut tiba dari Kuala Lumpur, menaiki penerbangan berlainan kira-kira jam 10.15 malam pada hari yang sama,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Syabu yang dirampas oleh pihak polis di Lapangan Terbang Tawau.

Jasmin berkata, pemeriksaan ke atas bagasi milik suspek kedua berusia 21 tahun membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu seberat 2,493.45 gram yang disorokkan dalam kotak makanan dan bungkusan kelihatan seperti biskut.

“Ini adalah antara taktik sindiket dadah untuk mengaburi pihak penguatkuasa. Pemeriksaan mendapati bungkusan dadah disorok rapi dalam bentuk makanan dan semua barangan berkeadaan bersih dan sempurna.

“Kedua-dua suspek bukan penduduk Tawau, masing-masing berasal dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak, dan dipercayai merupakan ahli rangkaian sindiket penyeludupan dadah ke daerah ini,” katanya.

Menurutnya, suspek pertama mempunyai empat rekod lampau membabitkan kesalahan dadah termasuk dua kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua lagi Seksyen 15(1) akta sama.

“Suspek kedua pula memiliki dua rekod jenayah termasuk satu kes penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan masih dalam senarai dikehendaki.

“Ujian air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine manakala suspek kedua negatif sebarang jenis dadah,” katanya.

Jasmin berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil siasatan awal menunjukkan modus operandi yang digunakan adalah sama dengan kes-kes tangkapan sebelum ini, yang mana dadah diseludup masuk melalui laluan udara ke Tawau.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM87,000 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti jaringan sindiket yang lebih besar,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *