
SEMPORNA: Seorang lelaki maut, manakala dua lagi selamat dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga kenderaan di jalan Kampung Kubang Baru, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa lelaki memandu kereta jenis Proton Gen-2 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Ford Ranger, Toyota Hilux dan kereta Proton Gen-2.
“Seorang mangsa, lelaki tersepit di dalam kereta sedan berkenaan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua pemandu pacuan empat roda dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi, sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.10 petang,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah