40% Jalan Kota Kinabalu-Sandakan-Tawau Berlubang Macam Kolam – Bung Moktar

Bung Moktar ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf di Masjid Kampung Bilit dan Masjid Tun Juhar di Sukau.

KINABATANGAN : Bekas Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa sekitar 40 peratus jalan raya yang menghubungkan Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau berada dalam keadaan membimbangkan.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, hasil tinjauannya di laluan utama tersebut mendapati ada sebahagian jalan yang sudah seperti ‘kolam’ dan boleh menyebabkan kenderaan rosak.

“Saya terkejut melihat keadaan jalan raya yang sangat teruk, dengan dianggarkan 30 hingga 40 peratus mengalami kerosakan.

“Lubang terdapat di merata tempat, ada yang cukup dalam hingga boleh menyebabkan rim kenderaan pecah. Ini sangat berbahaya, terutama apabila pemandu cuba mengelak lubang secara tiba-tiba pada kelajuan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf di Masjid Kampung Bilit dan Masjid Tun Juhar di Sukau, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, keadaan jalan raya di Sabah yang kini berada dalam tahap kritikal boleh mengancam keselamatan rakyat.

“Sekarang hampir tiba Hari Raya Aidilfitri, tetapi yang kelihatan hanya kontraktor menebang pokok kelapa sawit dan menolak tanah di tepi jalan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Sementara itu, jalan sedia ada terus diabaikan dan ini menyusahkan rakyat,” katanya.

Beliau turut membandingkan keadaan semasa UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah Sabah dahulu.

“Zaman kita memerintah, kontraktor sudah sedia untuk menampal jalan dengan segera.

“Sekarang saya lihat kerja pembaikan sangat lambat, malah ada lubang besar seperti kolam di jalan utama, terutama di laluan Lahad Datu-Sandakan-Telupid,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menggesa kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah agar mengambil serius isu jalan raya yang semakin teruk di negeri ini.

SumbeR: SINAR

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *