Pemandu Maut, Lori 10 Tan Terbabas Di Kota Marudu

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit.

KOTA MARUDU: Seorang pemandu warga emas maut selepas lori 10 tan membawa muatan pasir yang dipandunya terbabas di Jalan Kampung Mangaris di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, kejadian jam 7.40 pagi itu membabitkan mangsa berumur 68 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, sepasukan pegawai digerakkan ke lokasi bersama jentera jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebaik menerima panggilan berkenaan kejadian pada jam 7.49 pagi.

“Semasa ketibaan pihak bomba di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan membawa muatan pasir terbabas sendiri di tepi jalan. 

“Terdapat seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas (Hydraulic Jack),” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Mangsa diserahkan kepada pasukan Polis untuk tindakan selanjutnya dan selepas memastikan keadaan selamat operasi ditamatkan jam 9.10 pagi,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *