BN Sabah Ikrar Keluarkan 8 Daerah Kelompok Termiskin, Kata Bung

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin, berkata parti itu akan kemuka tawaran baharu pada PRN termasuk ruang pinjaman niaga kepada anak muda, selain naik taraf lapangan terbang di Kudat.

KOTA KINABALU : Barisan Nasional (BN) Sabah berikrar akan mengeluarkan lapan daerah daripada kelompok termiskin jika gabungan itu menang PRN tahun depan, kata Pengerusi Bung Moktar Radin.

Beliau mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan kerajaan negeri paling gagal dalam sejarah Sabah memandangkan janji menyediakan ratusan ribu peluang kerja tidak ditunaikan.

Bung berkata, Sabah kekal antara negeri termiskin dan mencatat kadar pengangguran antara tertinggi di Malaysia.

“Kalau benar ada begitu banyak peluang pekerjaan, mengapa kadar kemiskinan masih begitu tinggi.

“BN juga akan mempertingkatkan daya saing hidup rakyat melalui tawaran-tawaran baru dalam PRN akan datang. BN juga akan mengeluarkan lapan daerah termiskin di Sabah dan BN akan menyediakan ruang pinjaman perniagaan kepada anak-anak muda kelak,” katanya dalam kenyataan.

Lapan daerah termiskin itu direkodkan di Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, dan Lahad Datu.

Dalam pada itu, bekas timbalan ketua menteri Sabah itu, berkata BN akan membangunkan pelabuhan bertaraf antarabangsa dan menaik taraf lapangan terbang di Kudat sekiranya diberikan mandat mentadbir kerajaan.

Kerajaan Sabah ketika ini diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor terdiri daripada GRS, Pakatan Harapan (PH), dan beberapa Adun Umno yang enggan mengikuti penarikan sokongan parti itu terhadap Hajiji.

Umno Sabah, diketuai Bung, dan Warisan kini duduk sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *