SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 180 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina ke negara asal, hari ini.
Semua PTI yang ditahan di Depot Imigresen Sandakan itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang ini membabitkan 84 lelaki, 61 wanita dan 35 kanak-kanak berusia sekitar satu tahun sehingga 65 tahun.
Katanya, kanak-kanak yang terbabit dengan program berkenaan akan balik ke negara asal bersama ibu bapa atau penjaga yang sah. Semua tahanan telah balik ke negara asal atas program pembiayaan sendiri.
“Kadar pembayaran tiket feri yang dikenakan ke atas tahanan asing yang balik adalah termasuk caj kemudahan pengangkutan bas bermula dari lokasi Sandakan ke Lahad Datu.
“Kos dikenakan sebanyak RM375 bagi penumpang dewasa, RM210 kanak-kanak berusia lima ke 13 tahun dan percuma bagi kanak-kanak empat tahun dan ke bawah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua PTI yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
“Hingga kini seramai 5,683 tahanan warga Filipina sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PTI dihantar pulang mencecah 8,337 orang.
“Semua tahanan PTI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Katanya, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PTI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan jalinan hubungan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan asing di Malaysia.
“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot-depot imigresen di Sabah.
“JIM Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost