KOTA KINABALU : Tiada keperluan bagi Datuk Seri Hajiji Noor melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah serta- merta meskipun ada desakan daripada pemimpin UMNO negeri, susulan pendedahan mengenai skandal perolehan projek mineral baru-baru ini.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Romzi Ationg berpendapat, meskipun tekanan kuat diberikan oleh pemimpin UMNO Sabah yang diketuai oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Hajiji masih mampu bertahan sehingga akhir penggal.
Romzi menjelaskan, beberapa faktor menyokong ketahanan Hajiji, antaranya adalah sokongan padu daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), dan lima wakil rakyat UMNO yang beralih arah dari kumpulan penyokong Bung Moktar.
“Beliau juga belum dipanggil untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun disabitkan bersalah atas sebarang pertuduhan jenayah seperti rasuah atau penyalahgunaan kuasa, berbanding dengan sesetengah pemimpin politik lain,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat lalu.
Romzi berkata demikian ketika mengulas desakan sayap UMNO Sabah yang mahu Hajiji meletakkan jawatan supaya siasatan terhadap ADUN yang terlibat dalam skandal perolehan projek mineral dapat dijalankan dengan telus dan bebas.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim sebelum ini menegaskan, Pemuda UMNO bimbang dengan isu yang melibatkan beberapa ADUN Sabah berdasarkan video tular yang mendakwa berlakunya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang boleh memberi kesan langsung kepada rakyat negeri itu.
Setiausaha Politik kepada Ketua UMNO Sabah, Ir Aziz Julkarnain pula menjelaskan bahawa desakan agar ketua menteri meletakkan jawatan adalah selaras dengan amalan kepimpinan dunia.
Aziz turut menegaskan bahawa PH Sabah harus bersama-sama UMNO Sabah menentang skandal itu, kerana berdiam diri hanya akan mengaitkan mereka dengan isu tersebut.
Ujarnya, PH Sabah perlu kekal konsisten dengan perjuangan menentang penyalahgunaan kuasa, seperti yang dilakukan terhadap pemimpin BN sebelum ini.
Menurutnya, UMNO Sabah kekal kukuh di bawah kepimpinan Bung Moktar, meskipun melalui cabaran besar selepas kekalahan teruk pada tahun 2018.
“Politik sebenar adalah tentang keberanian memperjuangkan keadilan, bukan sekadar merebut kuasa. UMNO Sabah tetap teguh sebagai suara rakyat,” ulasnya. – SINAR
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost