KOTA KINABALU: Seorang pemandu lelaki mengalami kecederaan selepas kereta pacuan empat roda dinaiki bertembung dengan lori 10 tan di Jalan Pan Borneo, Kampung Pulutan di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian jam 9.15 pagi itu membabitkan mangsa berumur 56 tahun.
Katanya, sepasukan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.19 pagi.
“Semasa ketibaan pihak bomba di lokasi, berlaku kemalangan membabitkan dua buah kenderaan dan pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian kerusi pemandu di pacuan empat roda menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan mengalami kecederaan dan menerima rawatan awal daripada pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi.
“Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE2) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, operasi ditamatkan jam 9.48 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost