Wong Ketua Polis Daerah Beaufort Baharu

Jauteh menyaksikan Ismail menyerahkan dokumen jawatan Ketua Polis Daerah Beaufort kepada Wong.

BEAUFORT: Superintendent Wong Leong Ming dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Beaufort menggantikan Deputi Superintendent Ismail Abdullah dalam satu majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di sini.

Pesurujaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun yang menyaksikan majlis penyerahan jawatan itu menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Wong dengan lantikan berdasarkan Arahan Pertukaran Pegawai Kanan Polis (Pegawai Diwartakan).

Jauteh berkata, Wong diyakini akan dapat terus membawa IPD Beaufort ke tahap kejayaan yang lebih membanggakan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Ismail Abdullah dengan penugasan sepanjang menerajui IPD Beaufort sejak Julai 2023, diiharap beliau dapat meneruskan khidmat cemerlangnya,” katanya.

Pada majlis sama, turut berlangsung, majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Beaufort antara Junainah Mohd Noor yang menyerahkan jawatan terbabit kepada Lai Mei Leng.

Turut hadir pada majlis ini, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Azhar Hamin, Ketua-ketua Bahagian, Pegawai Kanan, Pegawai Rendah Polis, Pegawai Awam, serta PERKEP IPD Beaufort.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *