KOTA KINABALU : Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diarah menyelesaikan isu ‘jalan macam di bulan’ atau jalan rosak yang sering menjadi rungutan pengguna jalan raya di Sabah.
Arahan itu dikeluarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika lawatan kerja di Kementerian Kerja Raya Sabah bagi melihat perkembangan terkini kementerian dan jabatan di bawahnya, di sini, hari ini.
Katanya, tindakan proaktif perlu diambil, termasuk mengarahkan syarikat konsesi yang bertanggungjawab untuk membaiki segera kerosakan jalan raya di seluruh negeri itu.
“Kita mesti sentiasa memikirkan mengenai keperluan rakyat. Tanpa tindakan, kerajaan dan JKR akan terus menerima kecaman daripada rakyat,” katanya ketika lawatan kerja di Kementerian Kerja Raya Sabah di Bangunan JKR Sembulan, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hajiji turut menekankan kepentingan kerja pemantauan dilaksanakan secara berkala di semua laluan seluruh negeri, sama ada jalan negeri atau persekutuan.
“Beri perhatian terhadap keluhan rakyat, ada banyak aduan biasa. Jadi, saya mahu JKR negeri tidak menunggu (aduan), tapi cari penyelesaian segera terhadap masalah itu,” katanya.
Selain itu, Hajiji turut menyentuh mengenai langkah untuk menyelesaikan isu air tidak berhasil (NRW) yang masih banyak berlaku di negeri ini sehingga menyebabkan gangguan bekalan air.
Katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan penyiasat bebas bagi mencari punca NRW yang ketika ini berada pada paras 60 peratus, kebanyakannya disebabkan kes curi air.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost