Lima Cedera, Pacuan Empat Roda Dinaiki Terbabas Di Jalan Sandakan-Kinabatangan

Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa di lokasi kejadian.

KINABATANGAN: Lima lelaki cedera selepas pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas di Jalan Sandakan-Kinabatangan, Kampung Paris 1, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.01 pagi.

Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda telah terbabas sendiri dan terbalik di bahu jalan.

“Terdapat lima mangsa termasuk pemandu mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.32 pagi,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *