Lelaki Maut, Van Terbabas Jatuh Gaung Di Jalan Keningau-Kimanis

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dari kenderaan.

PAPAR: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas van dinaiki mereka terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Batu 23, Jalan keningau-Kimanis pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Mohd Johainin Ruslan berkata mangsa berumur 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian jam 6.50 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi sejauh 28 kilometer bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.55 pagi.

“Semasa ketibaan pihak bomba di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis van yang tebabas sendiri dan terjatuh di gaung sedalam 20 kaki dari jalan raya. 

“Terdapat dua orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas (Rescue Tools),” katanya.

Beliau berkata, salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mangsa seterusnya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

“Seorang lagi mangsa cedera berumur 23 tahun diberi rawatan awal oleh EMRS dan diserahkan kepada ambulans KKM untuk dihantar ke Hospital Papar bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya sambil menambah operasi keseluruhan tamat jam 9.30 pagi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *