145 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Dalam Operasi Imigresen Di Ranau

RANAU : Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah hari ini menahan sejumlah 145 pendatang tanpa izin dalam operasi di Kampung Lutut di sini.

Pengarahnya Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata kesemua yang ditahan berusia lingkungan tiga bulan hingga 62 tahun dan terdiri daripada 82 lelaki serta 63 perempuan.

Beliau berkata pasukan penguat kuasa mengambil masa hampir sejam untuk tiba di lokasi yang menempatkan beberapa rumah kongsi dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda selain terpaksa mengharungi tiga anak sungai.

“Serbuan mula dilakukan pada 7 pagi, terdapat juga warga asing yang cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Sh Sitti Saleha berkata sejumlah 220 individu telah diperiksa dalam operasi itu susulan aduan orang awam berhubung kehadiran warga asing yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri dan bekerja tanpa pas sah.

Beliau berkata operasi itu dijayakan dengan kekuatan 52 anggota pelbagai pangkat terdiri daripada Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu, Pejabat Imigresen Ranau, Keningau dan Kudat selain dibantu empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia. 

Sh Sitti Saleha berkata antara kesalahan yang dipercayai dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan warga Malaysia dipercayai melindungi pendatang dalam premis.

“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“Ia termasuklah di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *