PAPAR: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu sebuah kenderaan maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo, dekat Kampung Purak, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu kereta berusia 75 tahun dan penunggang motosikal berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.20 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan sebuah motorsikal berkuasa tinggi
“Terdapat dua mangsa terlibat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Rozlan berkata, kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 10.32 pagi.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.32 pagi,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost