Penghantar Barang Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM30,930

Dadah yang dirampas semasa penahanan suspek.

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga Filipina yang bekerja sebagai penghantar barang bersama 10 peket dadah jenis syabu seberat 512.90 gram di kawasan tepi jalan Kampung Wakuba, Jalan Apas, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi Ops Tapis, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Hasil maklumat orang awam, pasukan serbuan mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan mengambil sesuatu dari dalam bakul motosikal yang ditunggang oleh suspek.

“Pasukan serbuan menghampiri lelaki itu dan memperkenalkan diri sebagai polis. Suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan menemukan 10 peket lutsinar berlainan saiz yang setiap satu peket plastik itu berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, jumlah anggaran keseluruhan berat kasar dadah adalah seberat 512.90 gram bernilai RM30,930 dan suspek ditahan manakala barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.

“Suspek adalah warga Filipina, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan bekerja sebagai penghantar barang. Suspek kini direman selama tujuh hari.

“Polis sedang berusaha mengesan rangkaian pengedaran dadah ini bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan dan polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk sama-sama membanteras kegiatan ini. 

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *