KUNAK: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandu terbabas di Jalan Giram Kunak-Tawau, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohammad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.02 malam.
Katanya, seramai lima anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta telah terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 22 tahun mengalami kecederaan di dalam kereta berkenaan dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Kunak menggunakan jentera EMRS untuk menerima rawatan susulan.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.29 malam,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost