KUALA LUMPUR: Isu berkaitan harga tiket penerbangan antara Sabah dan Semenanjung mahal sekali lagi menjadi tumpuan di Dewan Rakyat, hari ini.
Isu berkenaan dibangkitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, petang ini.
“Minggu ini saja, harga tiket kelas ekonomi bagi perjalanan sehala RM1,700, jauh lebih tinggi berbanding perjalanan ke luar negara.
“Jika ke Singapura dan Filipina baru RM700, ke Indonesia RM600 dan ke Sabah, RM1,700. Teruk betul,” katanya tanpa menyebut nama syarikat penerbangan terbabit.
Justeru, beliau menggunakan ruang berkenaan bagi memohon Menteri Pengangkutan, Anthony Loke cakna dengan masalah rakyat Sabah itu.
“Saya minta Menteri Pengangkutan lihat perkara ini sebab ia membebankan rakyat Sabah terutama mereka yang ulang alik (ke Semenanjung) untuk perniagaan dan sebagainya,” katanya.
Bulan lalu, isu itu mendapat perhatian kerajaan apabila Kabinet bersetuju meneruskan dua inisiatif bantuan pembelian tiket penerbangan.
Bantuan diumumkan Anthony itu membabitkan subsidi pembelian tiket penerbangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan (FLYsiswa).
Selain itu, kerajaan mengekalkan harga siling tiket penerbangan RM599 antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak pada musim perayaan.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost