KOTA KINABALU : Bekas ketua pegawai eksekutif dan pengarah eksekutif syarikat swasta ditahan selepas disyaki terbabit membuat tuntutan palsu pembekalan diesel lebih RM650,000 kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pasangan suami isteri berusia lingkungan 50 hingga 60-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, 10.55 pagi, hari ini.
Menurut sumber, pasangan terbabit dipercayai membuat kira-kira 15 tuntutan palsu daripada SESB sekitar 2013.
“Tuntutan palsu itu membabitkan kontrak pembekalan diesel bagi kegunaan set jana kuasa elektrik yang dipercayai untuk syarikat mereka.
“Pembekalan diesel berkenaan yang sebenar tidak sama seperti dalam tuntutan dibuat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau Khamis ini bagi proses pertuduhan,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost