Dua Cedera Lori Tiga Tan Bertembung Lori Treler

Pasukan bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa yang cedera di dalam lori berkenaan.

TAWAU: Dua cedera selepas lori tiga tan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lagi lori treler di jalan Kampung Beruang Bombalai, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa pemandu lelaki berusia 70 tahun cedera di bahagian tangan dan paha kanan, manakala penumpangnya wanita berusia 61 tahun cedera di bahagian muka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.11 pagi tadi.

Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah lori tiga tan terbabas ke bahu jalan selepas dipercayai bertembung dengan sebuah lori treler.

“Terdapat tiga mangsa terbabit dalam kemalangan itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dua daripadanya iaitu pemandu dan penumpang lori tiga tan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi kejadian, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 1.51 pagi,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *