Pelajar Pembinaan Berjaya Terbit Kajian Ilmiah di Jurnal Akademik

KENINGAU : Sekumpulan pelajar perempuan berusia 18 tahun dari program Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional (KV) Keningau, bersama dengan guru-guru mereka, telah berjaya menerbitkan artikel penyelidikan berkaitan dengan penilaian kerosakan struktur rumah di jurnal akademik bertajuk International Journal of Multidisciplinary: Applied Business and Education Research pada 23 September 2024.

Pelajar tersebut adalah Nur Qamariah Hasmeddy, Ara Billa Biton, dan Avyda Tang Pei Chin. Projek penyelidikan ini diselia oleh empat orang guru: Jovinia Danil, Dayang Amidah Amin, Dayang Siti Khatijah, dan Dr. Sirhajwan Idek.

Penyelidikan ini dijalankan semasa lawatan kerja lapangan mereka ke sebuah rumah kayu usang yang telah mereka pilih untuk dibaiki dan dipulihkan sebagai projek khidmat masyarakat mereka.

Sebelum kerja pemulihan yang juga diketuai oleh pelajar-pelajar ini dijalankan, mereka telah melawat rumah tersebut untuk membuat penilaian kerosakan agar mereka mampu mengenalpasti kerosakan kritikal rumah tersebut serta mengesan punca utama kerosakan-kerosakan ini.

Ini membolehkan mereka menyediakan pelan pembaikan dengan lebih baik yang bertumpukan kepada kerosakan-kerosakan yang perlu diberi keutamaan. Mereka bermula dengan menulis kertas cadangan untuk penyelidikan tersebut sebelum membangunkan instrumen penilaian berdasarkan keadaan rumah yang telah mereka pilih untuk dilawati.

Mereka akhirnya menganalisis penemuan yang diperoleh daripada penilaian yang telah mereka masing-masing laksanakan semasa lawatan kerja lapangan.

Wakil pasukan itu, Nur Qamariah, menerangkan bahawa penyelidikan ini dapat mengukuhkan perancangan mereka untuk melancarkan khidmat sosial yang mereka namakan First 2 Fix untuk membantu masyarakat luar bandar dalam kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan rumah.

Pengarah KV Keningau, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar tersebut kerana berjaya menjalankan penyelidikan semasa kerja lapangan dan berjaya menerbitkan artikel penyelidikan tersebut dalam jurnal akademik yang diperakui.

Beliau berpendapat projek sebegini mampu melatih pelajar untuk mempelajari kemahiran menyelidik dan menulis artikel ilmiah yang merupakan penting dalam meningkatkan kelayakan dan keupayaan mereka sebagai pelajar vokasional.

Ini juga dapat meningkatkan prospek kehidupan mereka sama ada dalam dunia perniagaan, dunua pekerjaan, atau pun di menara gading.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Pautan ke artikel penyelidikan ini boleh diakses di laman web jurnal itu: https://www.ijmaberjournal.org/index.php/ijmaber/article/view/1901

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *