
KOTA KINABALU: Tiga individu yang sedang beriadah di taman rekreasi Tanjung Aru Perdana Park, di sini, cedera diserang sekumpulan memerang, pagi tadi.
Dua mangsa wanita dan lelaki dewasa cedera di beberapa bahagian badan dipercayai akibat digigit haiwan liar berkenaan, kira-kira jam jam 6.30 pagi.
Difahamkan ketika kejadian, seorang mangsa wanita sedang berjoging sebelum diserang kumpulan memerang terbabit.
Beberapa individu yang melihat kejadian itu segera membantu namun turut diserang dengan dua daripada mereka cedera.
Saksi kejadian, Nadirah Hashim, 36, berkata ketika sedang berjoging, beliau terdengar jeritan orang meminta tolong.
“Saya dengan beberapa individu lain yang sedang berjoging kemudian bergegas untuk melihat apa yang berlaku. Ketika itu, seorang wanita digigit memerang dan empat individu lain kemudian membantu menghalau haiwan berkenaan.
“Namun dua daripada mereka turut diserang haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, seorang daripadanya yang membantu kemudian berjaya menghalau binatang berkenaan sebelum menghubungi ambulans untuk bantuan lanjut.
“Seorang daripada mangsa cedera di kepala, lengan kiri dan kanan dan kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Roland Oliver Niun, berkata siasatan awal mendapati kumpulan memerang itu memasuki pusat rekreasi terbabit untuk mencari makanan di kolam.
“Memang terdapat populasi memerang liar berhampiran taman dan kami juga melihat berlaku perubahan tingkah laku haiwan tersebut apabila orang awam memberi makan.
Walaupun memerang secara umumnya tidak agresif, haiwan ini mungkin menjadi agresif jika diprovokasi atau jika makanan yang dijangka tidak diberikan, katanya menurut Sinar Harian.
Roland berkata, JHL Sabah sudah menasihatkan pihak pengurusan taman membaiki pagar kawasan itu bagi mengelakkan pencerobohan memerang dan melaporkan sebarang kelibat memerang selepas pembaikan pagar.
“Kami mencadangkan pihak pengurusan memantau teliti keadaan pagar dan memasang papan tanda untuk mengurangkan interaksi pengunjung dan memerang bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Orang awam juga dinasihatkan tidak memberi makan atau memprovokasi mana-mana hidupan liar bagi mengelakkan interaksi dengan manusia dan mencegah perubahan tingkah laku haiwan yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost