TAWAU: Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, selepas mengaku salah meliwat remaja lelaki berusia 16 tahun, Mac lalu.
Tertuduh, Meruan Daud, 49, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai gunting rambut di Kampung Mentadak Baru Sungai Tamang, Pulau Sebatik, di sini, kira-kira 12 tengah hari, 11 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Berdasarkan fakta kes, mangsa mengenali tertuduh sejak 2011 kerana tinggal di kampung yang sama dan tertuduh didakwa melakukan amang seksual satu kali dalam seminggu dengan kejadian terakhir pada 11 Mac lalu.
Hasil daripada ujian saringan di Klinik Kesihatan Kubota, mangsa telah didapati positif HIV dan mengaku menjalankan hubungan sejenis (songsang) dengan tertuduh.
Ahmad Faizadh kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, 2 April lalu.
Tertuduh juga perlu berada dalam pengawasan polis selepas menjalani hukuman penjara selama dua tahun dan menjalani kaunseling selama berada di dalam dipenjara.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suryana, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost