KINABATANGAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memukat ikan di sungai berhampiran sebuah ladang, di sini semalam.
Mangsa berusia 25 tahun itu dikatakan ke sungai kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk memungut hasil ikan melalui pukat yang dipasangnya, namun tidak kembali ke rumah sehingga petang.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, beberapa rakan mangsa mencari di sekitar sungai namun hanya menemukan motosikal, pakaian serta pukat ikan yang koyak kemungkinan mangsa disambar buaya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.28 pagi, semalam.
Katanya, sepasukan tiga anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan menjalankan operasi.
“Setakat ini, mangsa belum ditemukan dan dimaklumkan hanya menemukan motosikal, baju, topi, kasut serta pukat yang koyak berkemungkinan mangsa disambar buaya.
“Operasi SAR masih giat dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian di sekitar sungai berkenaan itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost