TAWAU: Polis menahan tiga lelaki, termasuk remaja berusia 15 tahun selepas disyaki merogol remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, sebelum ditemui selamat di Kampung Jawa, Jalan Tengku Osman, di sini, jam 1 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata penahanan itu berdasarkan keterangan daripada remaja terbabit yang mendedahkan dia dirogol oleh tiga lelaki dikenalinya itu.
Beliau berkata, selain remaja lelaki berkenaan, dua lagi suspek masing-masing berusia 29 tahun ditahan di sekitar daerah ini lewat malam tadi.
“Semua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 September depan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 20 tahun dan hukuman sebat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan remaja perempuan berusia 15 tahun yang juga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di sini, apabila tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, remaja itu ditemui selamat di Kampung Jawa, Jalan Tengku Osman, dekat sini, jam 1 pagi semalam.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost