Lelaki Warga Asing Disyaki Curi Telefon Bimbit, Miliki Syabu Ditahan

Lelaki disyaki curi telefon bimbit, miliki syabu ditahan

TAWAU: Seorang lelaki warga asing disyaki mencuri sebuah telefon bimbit dan memiliki dadah jenis syabu ditahan di kawasan Fajar, bandar Tawau, di sini Ahad lalu.

Suspek berusia 39 tahun itu berjaya ditahan oleh sepasukan anggota Polis Strike Team, Balai Polis Tawau yang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di lokasi berkenaan, kira-kira jam 10.45 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, pihaknya melihat seorang lelaki dikejar oleh sekumpulan orang awam di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan Polis Strike Team yang menjalankan tugas rondaan turut mengejar bersama orang awam dan berjaya menangkap suspek di kawasan Fajar.

“Mangsa lelaki berusia 28 tahun yang turut mengejar dalam kejadian itu mengatakan telefon bimbitnya telah dicuri oleh suspek.

“Suspek terbabit enggan memberikan kerjasama kepada pihak polis serta bertindak agresif dan cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek terus ditahan oleh pasukan polis untuk pemeriksaan dokumentasi dan barang yang dibawanya.

Jasmin berkata, hasil pemeriksaan, polis menemukan tiga paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 16.04 gram di dalam beg suspek.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *