KINABATANGAN: Bayi lelaki maut manakala ibu bapanya parah selepas kereta yang mereka dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Kampung Paris 2, di sini, tengah malam tadi.
Kejadian itu juga turut menyebabkan empat lagi parah dan dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.38 tengah malam.
Katanya, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu pacuan empat roda bertembung dengan kereta pelbagai guna (MPV).
“Terdapat enam mangsa terbabit tersepit di dalam kereta MPV dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa.
“Seterusnya serah mangsa kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, seorang bayi di dalam kereta MPV disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seterusnya mayat bayi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 4.15 pagi,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost