RANAU: Polis tahan dua lelaki selepas disyaki memproses air ketum dipercayai untuk dijual kepada pembeli di sekitar kawasan daerah ini, kelmarin.
Kedua-dua lelaki terbabit ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Tapis oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mursalin Mahmud berkata, serbuan pertama membabitkan tangkapan seorang lelaki berusia 34 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Matan, di sini.
Katanya, suspek terbabit sedang berada di bahagian dapur rumah berkenaan ketika serbuan dijalankan oleh pasukan polis.
“Hasil pemeriksaan, menemukan peralatan untuk memasak air ketum, 13 botol berisi air warna hijau gelap disyaki air ketum.
“Turut dirampas kira-kira satu kilogram daun ketum yang telah diproses,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mursalin berkata, hari yang sama, pasukan serbuan turut menahan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun di Kampung Dumpiring, Kundasang.
Menurutnya, ketika serbuan menemukan 23 botol air minuman 1,500 mililiter digunakan bagi menyimpan air mengandungi cecair warna gelap disyaki air ketum.
“Semua tangkapan dan rampasan terbabit dibawa ke IPD Ranau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost