
PETALING JAYA: Buruh dihukum penjara 30 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas mengaku salah terhadap tiga pertuduhan merogol anak kandung yang juga orang kurang upaya (OKU) sehingga melahirkan bayi, minggu lalu.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh berusia 45 tahun itu membuat pengakuan itu atas semua pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di daerah Dungun, pada 2022.
Dia didakwa mengulangi kesalahan sama di lokasi sama pada 2023 dan 2024, lapor Berita Harian.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara itu berjalan berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Julai lalu berserta 30 sebatan.
Bagaimanapun, tertuduh hanya dikenakan 24 sebatan berikutan Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan maksimum hukuman sebatan ialah 24 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini, melaporkan polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit kes rogol anaknya yang terbongkar selepas remaja perempuan itu melahirkan bayi, pada 20 Julai.
Sebelum itu, mangsa mengadu sakit pada bahagian perut lalu dibawa ibunya ke sebuah klinik kesihatan berhampiran. Hasil pemeriksaan doktor mendapati remaja itu hamil sebelum melahirkan anak tidak lama kemudian.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost