KINABATANGAN : Penduduk Kampung Abai di sini, terpaksa membayar RM45 untuk menukar tong gas memasak daripada peniaga di kampung berkenaan berbanding harga kawalan RM26.60 setong.
Selain itu, penduduk kampung berkenaan juga terpaksa membeli minyak masak peket satu kilogram dan gula putih bertapis satu kilogram dengan harga RM3.50 berbanding harga kawalan RM2.50 dan RM2.85.
Situasi dihadapi kira-kira 350 penduduk kampung berkenaan mendapat perrhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, berikutan kos tinggi ditanggung penduduk luar bandar untuk mendapatkan barang keperluan asas itu, kerajaan Pusat melalui kementeriannya mengambil inisiatif mengatasi masalah itu menerusi Program Penyeragaman Harga di bawah peruntukan Belanjawan 2024.
Menurutnya, bagi Kampung Abai, kementeriannya menyerahkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) untuk pengoperasian secara rasmi Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Cecair Petroleum (LPG) dan Community Drumming bagi Zon Abai.
“Dalam pembentangan Belanjawan Persekutuan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan mengumumkan peluasan program itu dengan menambah dua lagi zon baharu di Sabah iaitu Zon Abai, Kinabatangan dan Zon Gana, Kota Marudu.
“Pemilihan Kampung Abai sebagai zon baharu pelaksanaan program ini adalah untuk memastikan 350 orang penduduk di kawasan ini mempunyai akses kepada barang perlu, barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi dengan harga yang sama seperti di bandar Sandakan.
“Antara barang yang tersenarai adalah beras, gula putih bertapis, tepung gandum, minyak masak, LPG, petrol RON95 dan diesel.
“Sebelum peluasan program ini, penduduk Kampung Abai memperoleh barang keperluan seperti minyak masak peket dan gula putih bertapis pada harga RM3.50 berbanding harga kawalan RM2.50 dan RM2.85.
“Bagi LPG, penduduk membeli dengan kadar RM45 setong, berbanding harga kawalan RM26.60 setong,” katanya pada pelancaran Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming bagi Zon Abai di sini, hari ini.
Sementara itu, Armizan berkata kerajaan menyediakan sebanyak RM225 juta untuk pelaksanaan program berkenaan yang membabitkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah pada tahun ini.
Beliau berkata, pelaksanaannya membabitkan pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat pengangkut yang memberikan perkhidmatan mengangkut barangan perlu dan barang kawalan yang terpilih daripada pusat atau sumber bekalan kepada pusat penjualan.
“Bagi Sabah, penyeragaman harga menerusi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming meliputi 71 zon yang membabitkan sebanyak 219 kawasan pengedaran dan 654 pusat penjualan dengan peruntukan sebanyak RM79.7 juta.
“Ini memberi impak positif kepada lebih 529,948 populasi di negeri ini. Bagi Sandakan, program ini membabitkan 19 zon meliputi 51 kawasan, bukan saja memberi manfaat kepada 109,314 penduduk luar bandar, tetapi juga golongan peniaga kecil turut menikmati limpahan rezeki,” katanya.
Katanya, penyeragaman harga menerusi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan MADANI untuk mengimbangi keperluan rakyat.
Selain itu, Armizan berkata ia juga disasar meningkatkan lagi keberkesanan pemberian perkhidmatan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost