Banduan Lari Semasa Perbicaraan Di Mahkamah Keningau Berjaya Ditahan

Suspek yang melarikan diri berjaya ditahan kembali oleh pihak polis.

KENINGAU: Selepas dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Keningau bagi kesalahan dadah, seorang banduan nekad melarikan diri dengan melompat keluar dari tingkat dua bangunan mahkamah di sini Isnin lalu.

Tindakan licik suspek berumur 24 tahun itu bagaimanapun tidak berjaya selepas ditahan kembali dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Keningau, Supteritendan Yampil anak Garai berkata, suspek berumur 24 tahun itu berjaya ditahan di kawasan perumahan kuarters kerajaan, berhampiran bangunan Hospital Lama Keningau kira-kira tujuh jam selepas melarikan diri.

Katanya, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian, suspek sedang dibacakan hukuman oleh Majistret Flavian Edward Henry, di Kamar Mahkamah Majistret mengikut pertuduhan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 pada jam 2.30 petang. 

“Sebaik sahaja hukuman penjara selama enam bulan bulan dibacakan, suspek secara tiba-tiba melompat keluar dari kandang tertuduh, lalu menolak tingkap kaca dan melompat dari tingkat dua.

“Suspek kemudian ke bahagian bumbung garaj setinggi kira-kira dua meter sebelum melompat ke bawah dengan ketinggian empat meter lalu berlari ke pagar mahkamah.

“Suspek kemudiannya menghilangkan diri dan gagal dikesan selepas berjaya keluar ke jalan raya utama berhampiran Bulatan Rusa, Pekan Keningau,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, suspek ketika itu tidak digari berikutan dilepaskan secara berasingan bersama enam banduan lain untuk proses dibacakan hukuman. 

Menurutnya, ruang persidangan Mahkamah Majistret ini tidak mempunyai gril besi dan hanya ruang persidangan di Mahkamah Sesyen, aras bawah sahaja yang bergril penuh, empat buah kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di dalam ruang persidangan di tempat kejadian juga tidak berfungsi. 

Beliau bagaimanapun berkata, hasil tindakan cekap dan pantas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Cawangan Khas IPD Keningau berjaya menangkap suspek pada jam 9.30 malam.

“Suspek ditahan di di kawasan perumahan kuarters kerajaan, berhampiran bangunan Hospital Lama Keningau semasa sedang bersembunyi di dalam reban ayam. 

“Tangkapan dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *