SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan tidak bernyawa selepas dipercayai menggantung dirinya di sebuah rumah di Taman Sibuga, di sini, semalam.
Mayat mangsa berusia 48 tahun itu ditemukan dalam keadaan terlentang di atas tangga tingkat bawah rumah berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintenden Ramasamy A/L Kuppan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 6.10 pagi.
Katanya, sepasukan polis dari Balai Polis Sandakan bergegas ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan menjalankan siasatan awal.
“Sebaik tiba di tempat kejadian mendapati terdapat satu mayat lelaki dalam keadaan terlentang di atas anak tangga tingkat bawah rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terdapat kesan jerutan di leher mangsa dan ditemukan seutas wayar elektrik berwarna hitam sepanjang 25 kaki di sebelah mangsa,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, tempat kejadian merupakan ruang tangga tingkat bawah sebuah rumah jenis konkrit dua tingkat.
“Mangsa yang tidak bekerja dan mengalami penyakit stroke itu tinggal di rumah berkenaan bersama dengan keluarganya,” katanya
Ramasamy berkata, mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of kent Sandakan untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada Ketua Balai Polis Sandakan Inspektor Ab Nasir Abdul Lala di talian 089-221252 atau Balai Polis yang berhampiran,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost