Lebih 30 Bot Tersadai Di Perairan Anjung Senja berpotensi Sarang Aktiviti Haram, Gejala Sosial

Bot dan perahu usang ini perlu dipindahkan dan dilupuskan segera pihak bertanggungjawab.

KOTA KINABALU: Sabah tidak asing lagi sebagai salah satu destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi lebih-lebih lagi ibu negerinya, Kota Kinabalu sebagai bandaraya yang mempunyai persekitaran indah dan alam semulajadinya yang cantik.

Dengan hanya berada di bandaraya ini, pengunjung boleh menikmati keindahan laut yang jernih seakan kristal kebiruan berikutan kedudukannya yang betul-betul berada di pinggir laut.

Salah satu kawasan terbaik yang boleh dijadikan pengunjung untuk menikmati keindahan laut adalah di kawasan perairan Anjung Senja, Waterfront dan Jalan Mentari menuju ke sebuah pusat beli belah terkenal di ibu negeri.

Puluhan bot serta perahu usang di perairan Anjung Senja menjejaskan pemandangan Kota Kinabalu.

Kawasan ini turut terkenal sebagai lokasi popular untuk menjamu selera di samping menikmati panorama indah lautan khususnya ketika matahari terbenam.

Namun, kewujudan berpuluh-puluh bot tersadai merencatkan pemandangan dan menjejaskan imej Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.

Lebih 30 bot dilihat tersadai di kawasan ini dan ada di antaranya sudah usang dan rosak seolah-olah perairan ini dijadikan sebagai pusat pelupusan bot dan perahu usang yang sudah tidak digunakan.

Keadaan ini bukan hanya menjejaskan pemandangan tetapi dikhuatiri dijadikan sebagai lokasi untuk aktiviti haram terutamanya kawasan untuk gejala penyalahgunaan dadah, lebih parah, kemungkinan di atas bot inilah lokasi yang akan memulakan gejala sosial.

Sekiranya bot usang ini tidak diletakkan di kawasan ini, pengunjung boleh menikmati keindahan laut dan pulau-pulau indah yang terletak berhampiran pusat bandar.

Hasil rondaan serta pemantauan keselamatan oleh Pasukan Gerakan Marin mendapati bot usang ini turut dihuni kanak-kanak jalanan dari masyarakat Palauh yang sering dikaitkan dengan pengemis jalanan.

Warga bandaraya yang ditemui turut mengakui keadaan itu sudah berlarutan sejak bertahun lamanya dan meminta agar pihak berkuasa melaksanakan tindakan sepatutnya termasuk memindahkan bot dan perahu usang ke kawasan pelupusan yang betul.

Salah seorang ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jalinan Kaseh Sabah Norhaizah Abu Bakar @Marsya berkata, jika diikutkan, perahu tersadai ini sudah terlalu lama di kawasan Anjung Senja.

“Sejak dulu saya selalu datang ke sini dan saya lihat semakin banyak perahu serta bot yang tersadai dan tidak pernah dialihkan. 

“Kebanyakan pengunjung yang datang di Anjung Senja adalah rata-rata pelancong luar negara, saya berharap pihak berwajib mengambil tindakan agar bot dan juga perahu ini boleh ditempatkan di kawasan yang sesuai untuk mewujudkan imej indah di pusat bandar,” katanya.

Keadaan bot usang yang diletakkan di perairan Anjung Senja.

Sementara itu, salah seorang penduduk Kota Kinabalu, Nor Azizah Abu Bakar berkata, perahu yang sudah bertahun diletakkan di sini mencemarkan alam sekitar dan pemandangan.

“Keadaan perahu yang ada di sini tidaklah cantik, ramai pengunjung selalunya datang di sini untuk melihat matahari terbenam, tambahan lagi perairan ini terletak betul-betul di hadapan hotel terkemuka dan berada di tengah-tengah bandaraya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi warga bandaraya Dastell Gusaga berkata, sebagai masyarakat atau penduduk di Sabah ini sendiri, keadaan ini menganggu imej negeri Sabah sebagai sebuah pusat pelancongan.

“Kebanyakan pelancong melihat panorama yang ada di Kota Kinabalu dan keadAn perahu usang ini tidaklah berapa sesuai untuk diletakkan di sini.

“Pada masa sama, perahu serta bot yang tidak digunakan lagi ini turut menganggu alam sekitar,  oleh itu saya menyarankan pihak berwajib atau yang bertanggungjawab tentang bot ini supaya membuat tindakan sepatutnya.

“Tindakan terbabit termasuklah memindahkan atau melupuskan bot serta perahu ini bagi memulihkan semula imej kawasan Kota Kinabalu ini sebagai pusat pelancongan di Sabah,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *