KOTA KINABALU: Sebanyak 51 rumah setinggan dirobohkan menerusi Op Pendatang Tanpa Izin (PTI) Bersepadu Mega di sebuah penempatan dalam sekitar ibu negeri, petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, operasi yang dimulakan jam 3.30 petang itu turut menahan enam individu termasuk empat wanita warga Filipina kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, dalam operasi yang berakhir jam 5.20 petang itu juga berjaya merobohkan 51 rumah setinggan.
“Dalam operasi itu juga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan enam individu warga Filipina iaitu dua lelaki dan empat wanita berumur lingkungan 25 hingga 50 tahun.
“Tangkapan PTI akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 51(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, operasi ini adalah kerjasama agensi bantuan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Operasi ini akan berterusan pada masa akan datang dalam usaha membanteras jenayah, PTI, dadah dan gejala sosial di daerah ini,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost