LAHAD DATU: Seekor buaya betina mati ditembak dalam operasi bersepadu membanteras buaya di Kampung Sabah Baru, di sini, Khamis lalu.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Sylvester Saimin berkata, buaya sepanjang 2.5 meter itu ditemukan oleh penduduk di tepi rumah atas air kampung berkenaan.
Katanya, satu operasi bersepadu membanteras buaya terdiri daripada JHL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dijalankan pada hari berkenaan.
“Operasi meliputi beberapa kawasan iaitu POIC, Kampung Dasar Baru, Kampung Desa Bajau, Kampung Sabah Baru, Kampung Tabanak dan Kampung Terusan.
“Satu ekor kehadiran buaya di kesan di tepi rumah atas air di Kampung Sabah Baru,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, satu das tembakan dilepaskan oleh JHL dalam operasi itu dan berjaya menembak mati buaya betina berkenaan
“Buaya yang ditembak mati itu berukuran panjang 2.5 meter dan bangkainya dibawa ke perumahan kakitangan JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“JHL Lahad Datu akan terus menjalankan operasi membanteras buaya dari semasa ke semasa,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost