KOTA KINABALU: Seramai tujuh individu termasuk dua wanita disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah diberkas dalam serbuan di dua rumah di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini.
Serbuan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Pulau Gaya turut merampas pelbagai saiz plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 9.48 gram.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil serbuan di dua rumah itu menahan tujuh individu disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
Katanya, daripada tangkapan itu, lima adalah lelaki manakala dua wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 70 tahun.
“Hasil serbuan itu,menemukan satu peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih seberat 6.73 gram disyaki dadah jenis syabu dan satu peket berisi 50 peket kecil plastik lutsinar pelbagai saiz berisi hablur jernih seberat 2.64 gram disyaki dadah jenis syabu.
“Satu lagi peket kecil plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.05 gram dan 0.06 gram,” katanya ketika dihubungi.
Kasim berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) akta sama.
“Saluran maklumat sebarang kegiatan jenayah ke Balai Polis Pulau Gaya di talian 01159411221 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 088-592222,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost